Bagaimana Lawatan Duke Dan Duchess Of Cambridge Ke Malaysia Menggambarkan Kekuatan Perhubungan Anglo-Melayu
Bagaimana Lawatan Duke Dan Duchess Of Cambridge Ke Malaysia Menggambarkan Kekuatan Perhubungan Anglo-Melayu
Pada petang 2 Jun, 1953, suasana kegembiraan jelas terasa di seluruh
Malaya. Orang ramai bergembira di bawah langit yang dihiasi kemeriahan
bunga api, sewaktu berlangsungnya pertabalan Ratu Elizabeth II di
Westminster, England. Sejurus selepas itu, suara Baginda Ratu yang baru
sahaja dinobatkan itu, berkumandang di gelombang udara, dan semua yang
sedang mendengar di seluruh United Kingdom dan dunia telah mendengar
ikrar Baginda Ratu Elizabeth: “Sepanjang hidup saya dan dengan sepenuh
hati saya, saya akan berusaha untuk mengangkat kepercayaan anda terhadap
saya”. Walaupun tiada siapa meragui keikhlasan kata-kata itu, namun
ianya agak menakjubkan memandangkan Baginda Ratu Elizabeth telah
berpegang teguh pada ikrar tersebut sehingga kini.
Saya
bercakap bagi pihak rakyat Malaysia dalam menyatakan kekaguman saya
terhadap Baginda Ratu Elizabeth serta ketenangan, keyakinan dan
kemuliaan yang sering dibawa oleh Baginda selama menjalankan tugas dalam
pemerintahan baginda yang sudah begitu lama. Baginda memaparkan
ciri-ciri yang terbaik yang ada pada orang British: bermaruah, mempunyai
semangat yang tinggi dan bekerja keras. Oleh itu ia merupakan satu
penghormatan yang amat besar bagi saya semalam kerana dapat menerima dan
mengalu-alukan ketibaan Duke dan Duchess of Cambridge ke Malaysia
sempena sambutan ulang tahun ke-60 pemerintahan Baginda Ratu.
Pasangan Diraja tersebut merupakan duta terbesar bagi UK dan saya merasa
amat gembira kerana dapat makan tengah hari bersama mereka. Baginda
Duchess nampaknya amat berminat dengan buah-buahan tropika kita,
terutamanya buah durian. Di Asia Tenggara ramai yang menggelarkan buah
ini sebagai ‘Raja Segala Buah’, namun ia juga mempunyai bau yang begitu
kuat sehinggakan ianya dilarang sama sekali untuk dibawa dalam
sesetengah pengangkutan awam.
Kami turut membincangkan ikatan
yang sememangnya wujud di antara kedua-dua negara, kerana walaupun
terdapat begitu banyak perubahan yang telah dialami dalam tempoh enam
dekad semenjak Baginda Ratu memegang takhta – sebagai permulaan, Malaya
telah menjadi Malaysia apabila kita mencapai kemerdekaan daripada
Britain pada tahun 1957 – namun hubungan ini yang mempunyai akar umbi
dalam sejarah, telah kekal erat.
Pada bulan April lalu, kita
juga telah diberi penghormatan menerima lawatan Perdana Menteri David
Cameron – Perdana Menteri British yang pertama melawat Malaysia sejak
hampir 20 tahun. Dan sewaktu lawatan itu, beliau dan saya telah berikrar
bahawa kita tidak akan membenarkan hubungan istimewa antara negara ini
terputus begitu sahaja disepanjang jalan. Sebaliknya, kami akan
bersama-sama mencergaskan semula perhubungan ini selain memupuk dan
membinanya diatas nilai-nilai serta kepentingan bersama.
Kami
telah bersetuju untuk menguatkan lagi hubungan politik dan diplomatik,
serta menetapkan sasaran untuk menggandakan perdagangan kepada £8
billion menjelang 2016. Malaysia telah mendapat manfaat daripada
pengaruh dan pelaburan British sejak bertahun-tahun lamanya. Sewaktu
jajahannya, jurutera British telah membina Kelab Selangor di Kuala
Lumpur dan Dewan Bandaran Lama di Georgetown, manakala kedai Topshop dan
Marks & Spencer pula adalah simbol British yang sentiasa ada di
pusat-pusat membeli-belah moden kita. Hari ini United Kingdom juga turut
mendapat manfaat daripada ekonomi dan komuniti perniagaan Malaysia yang
semakin maju berkembang.
Antara perkembangan terbaru
termasuklah pengumuman yang baru sahaja dibuat beberapa bulan lalu
mengenai pelaburan yang akan dibuat oleh pelabur Malaysia untuk
membangunkan semula salah satu ikon London: Stesen Janakuasa Battersea
atau “Battersea Power Station”. Setelah berada dalam keadaan
separa-terbiar, pelan rombakan bernilai £8 bilion akan melihatkan tapak
tersebut berubah menjadi sebuah kompleks di pinggiran sungai yang sibuk,
satu hab aktiviti ekonomi yang dijangka akan mewujudkan kira-kira
30,000 peluang pekerjaan.
Sebagai seorang yang telah mendapat
manfaat daripada sistem pendidikan bertaraf dunia di UK, saya juga
gembira bahawa kita akan dapat melihat kerjasama yang lebih erat antara
institusi pendidikan kedua-dua negara. Setiap tahun lebih daripada
13,000 rakyat Malaysia mengembara ke UK untuk melanjutkan pelajaran
mereka di universiti-universiti di Britain. Sementara itu, di Malaysia,
pelajar dari kedua-dua negara menelaah pelajaran mereka bersama di
kampus Universiti Nottingham di Semenyih, kampus penuh universiti
British yang pertama di luar negara. Marlborough College, dimana baginda
Duchess of Cambridge telah melanjutkan pelajarannya, baru sahaja
membuka pintu mereka di Iskandar Malaysia. Saya berharap pelajar-pelajar
ini akan membawa bersama mereka kemahiran dan pengalaman yang cukup
kaya dan pelbagai, sama seperti apa yang telah saya alami dan manfaati
sewaktu pengajian saya di Nottingham dahulu.
Dari segi ekonomi,
budaya dan politik, hubungan dua hala antara kedua-dua negara telah
berjaya mengatasi ujian masa. Ini adalah kerana sejarah dan nilai-nilai
kita begitu saling berkaitan antara satu sama lain. Kedua-dua negara
percaya pada kuasa kesederhanaan, kekuatan kebebasan sivil serta
keperluan untuk meningkatkan kemakmuran dengan membina ekonomi yang
terbuka.
Persamaan antara dua negara turut dilihat pada tabiat
kita yang suka minum teh diwaktu petang – pengeluar teh Malaysia, Boh,
juga telah menghasilkan adunan istimewa yang baru sebagai penghormatan
sempena ulangtahun Jubli Intan Baginda Ratu. Persamaan dalam minuman
kesukaan ini merupakan sesuatu yang akan dinikmati oleh Baginda Duke dan
Duchess semasa jamuan teh di kediaman Pesuruhjaya Tinggi British nanti.
Hadirin yang dijemput termasuklah dua rakyat Malaysia yang amat
bertuah, yang telah memenangi pertandingan membolehkan kedua-duanya
untuk mendapat peluang keemasan bertemu dengan Pasangan Diraja tersebut.
Sambutan Ulangtahun Jubli Intan Baginda Ratu ini adalah sesuai pada
masanya. Selain meraikan pemerintahan Baginda Ratu, kita juga harus
meraikan hubungan sejarah kedua-dua negara sama ada besar mahupun kecil.
Sepertimana kejayaan Baginda Ratu memenuhi ikrar yang telah dibuatnya
sewaktu pertabalan Baginda 60 tahun yang lalu, saya juga berharap ikrar
Perdana Menteri Cameron dan saya untuk memperbaharui hubungan antara
negara juga akan turut berjaya menempuhi ujian masa.
Update 16 September 2012
Penyanyi tersohor negara, Datuk Siti Nurhaliza turut bersama meraikan kedatangan pasangan Diraja ini.
Kredit gambar :
Tiada ulasan:
Catat Ulasan