Doa Memohon Dipermudahkan Urusan
(Daripada Kitab 101 Doa Hadis-hadis Sahih Terbitan Telagabiru)
Apabila menghadapi sebarang masalah , mohonlah pada Allah swt. keringanan dengan membaca doa berikut :
اللَّهُمَّ لا سَهلَ إِلاَّ مَا جَعَلْتَهُ سَهْلاً
،
وَ أَنْتَ تَجْعَلُ الْحُزْنَ إِذَا شِئْتَ سَهْلاً
Maksudnya : “ Wahai Tuhanku , tiada kemudahan melainkan apa yang Engkau jadikan mudah dan perkara yang susah boleh Engkau jadikan mudah , apabila Engkau mengkehendakinya” .[1]
Petua Beramal
Adalah menjadi sunnatullah dalam kehidupan , bahawa manusia itu menghadapi ujian berupa kelaparan , kematian dan kesulitan , kerana dengan ujian yang berbagai itu Allah swt dapat mengetahui tahap keimanan hambaNya . Firman Allah swt dalam surah al-kahf ayat ke 7 :
إِنَّا جَعَلْنَا مَا عَلَى الْأَرْضِ زِينَةً لَهَا لِنَبْلُوَهُمْ أَيُّهُمْ أَحْسَنُ عَمَل
Maksudnya : "Sesungguhnya Kami telah jadikan apa yang ada di muka bumi sebagai perhiasan baginya, kerana kami hendak menguji mereka, siapakah di antaranya yang lebih baik amalnya”.
Walaupun Allah sebenarnya telah mengetahui tahap keimanan manusia sebelum berlaku ujian , namun ujian seperti kesulitan itu dapat mendedahkan kepada manusia itu sendiri keperluannya untuk mengambil langkah-langkah pemulihan kepada permasalahan imannya sendiri. Dia perlu memuhasabah dirinya , memperbaiki sikapnya , mengikhlaskan amalannya untuk mencapai kualiti amalan yang dikehendaki Allah dan sebagainya. [2]
Dalam buku As’ad Imra`atan Fil Alam, Dr Aid Al-Qarni menjelaskan kepentingan memiliki semangat yang jitu dengan katanya yang bermaksud :
“Jadilah manusia yang mempunyai cita-cita yang tinggi, melalui kesukaran untuk sentiasa mendaki ke arah kejayaan, secara istiqamah, elakkan dari kecundang. Ketahuilah bahwa hidup ini ibarat beberapa detik sahaja, jadilah seperti semut yang sentiasa sabar dan tabah…” [3]
Ini juga merupakan tip berharga buat dikongsi bersama meniti kehidupan .
[1] HR Ibn Hibban no 2427 , Ibnus Sunni no 351 , Silsilah al-Ahadith al-Sahihah no 2886
[2] Lihat buku Mauqif al-Muslim , muka surat 51
[3] Lihat Kitab As’ad Imra`atin Fil Alam Bab Unzuri Ila al-Sahab Wa La Tanzuri Ila al-Turab, karangan Dr Aid Abdullah Al-QarniSUMBER
Tiada ulasan:
Catat Ulasan